Ads 468x60px

Wednesday 24 December 2014

Tips Mudah Dapat Idea Untuk Menulis Di Blog


Entri kali ini saya nak ajak seluruh warga blogger untuk terus istiqamah dan bersemangat mengemas kini (update) blog masing-masing. Blogging menjadi satu wadah yang baik untuk ditinggalkan sebagai jariah ILMU kepada seluruh warga netizen. Insyaallah.

Jika dilakukan dengan serius, kegiatan ini akan menjadi sangat menyeronokkan. Selain boleh dapat ramai kawan, kegiatan ini juga menjadi salah satu cara melahirkan idea secara actual yang ada di kepala atau benak hati anda. Daripada dibiarkan terpendam saja idea tersebut, lebih baik dikongsikan melalui tulisan agar semakin banyak orang membaca dan siapa tahu dari tulisan-tulisan itu ada pembaca yang akan mendapat inspirasi baru. Bukankah ini sudah menjadi ladang amal kita, iaitu menulis untuk berkongsi. Dan ini perlu dibudayakan dalam masyarakat kita. Lihat saja masyarakat di Eropah yang suka berkongsi maklumat dengan orang ramai. Kalau kita search di Google tentang sesuatu perkara, terdapat lebih banyak maklumat yang datang dari mat saleh ini. Betul tak?

Kalau bercakap pasal penulisan, sudah pasti kita sangat memerlukan idea. Haa... perkara inilah yang sering menekan blogger ketika mereka ingin mengemas kini tulisannya. Rata-rata mereka mengakui akan kekangan mendapatkan idea. Tak tahu apa yang nak dipos.

Baiklah, supaya kawan-kawan blogger tidak susah mendapatkan idea, saya kongsikan sedikit ilmu cara mendapatkan idea untuk membantu anda menulis posting. Idea ini saya peroleh hasil dari pembacaan saya dari mereka yang lebih arif. Tips ini telah saya lakukan selama beberapa tahun. Ini sebahagian daripada tipsnya:
  • Bertenang dan berzikir. 
    Tenangkan fikiran dan jangan terlalu memikirkan masalah yang dihadapi. Punca utama kita mengalami sindrom kekangan idea ini disebabkan emosi kita sering terganggu. Justeru, sebelum menaip pastikan minda kita dipenuhi dengan fikiran positif serta tiada perkara yang boleh mengganggu fikiran. Sebaik-baiknya banyakkan istighfar untuk dapatkan ketenangan. Bila kita dah bertenang, Insyaallah, akan dipermudahkan Allah untuk menjana idea dengan baik. Idea yang  mencurah-curah memudahkan kita nak update entry terbaru. Ketenangan juga menjadikan kita lebih fokus menaip entri blog.
  • Tentukan tema.
    Tema ini sangat penting. Sebelum membuat tulisan sebaiknya tentukan temanya dulu kerana tema ini adalah seperti satu kerangka bagi sesebuah tulisan. Anda boleh menggunakan apa sahaja objek disekeliling anda sebagai inspirasi kepada tema anda.
  • Tentukan jenis tulisan.
    Jenis tulisan ini penting untuk menarik pembaca sehingga mereka mudah mengenali ciri khas gaya tulisan kita. Jenis tulisan ini macam-macam, misalnya cerpen, feature, karya ilmiah, dan lain-lain.
  • Menggali idea.
    Idea boleh datang dari mana saja. Untuk mendapatkan idea ini kita bebas berkarya ikut kesesuaian yang kita mahu. Tulislah berdasarkan minat anda kerana ianya dapat meningkatkan kreativiti dan menyebabkan idea bercambah dari semasa ke semasa. Misalnya menulis pengalaman peribadi, menulis pengalaman orang lain, menulis hasil dari khayalan, atau membuat tulisan review. Bila kita suka kepada sesuatu topik, senang kita hendak huraikan isinya, dan secara tak langsung akan meningkatkan kualiti penulisan kita.
  • Gunakan konsep idea dengan kaedah jurnalistik.
    Setelah semuanya diperoleh selanjutnya adalah proses mengkonsepkan idea. Biasanya untuk mengkonsepkan idea ini saya kerap menggunakan kaedah jurnalistik. Kaedah jurnalistik itu adalah konsep 5 W + 1 H (What, Who, Why, When, Where, and How). Ini semua kita dah belajar semasa di sekolah. Takkan lupa dah kot? Insya Allah jika menulis menggunakan kaedah ini kita akan lebih mudah menyusun tulisan sebab kerangkanya sudah sistematik sehingga tinggal mengembangkan saja.
Semoga tips mudah mendapat idea posting blog di atas dapat membantu kawan-kawan ketika pening mencari idea tulisan. Dan jangan lupa supaya tulisan semakin berkualiti banyakkanlah membaca supaya perbendaharaan kosa kata anda bertambah banyak.