Ads 468x60px

Sunday, 7 February 2016

7 Trend Yang Bakal Mengubah Landskap Dunia Pendidikan

Artikel nukilan Syazwan Zamree, pengasas Keenobot – bongkah robot pendidikan yang membolehkan kanak-kanak membina robot dan mempelajari pengaturcaraan dengan cara yang lebih pintar. Layari : Keenobot.

Tahun 2016 merupakan tahun yang mencabar dan menarik, terutamanya bagi sektor pendidikan. Kejayaan institusi, syarikat dan individu membangunkan peranti, perisian dan aplikasi canggih bukan hanya memberi kesan positif dalam kehidupan peribadi kita tetapi juga aspek pendidikan sejagat. Dengan dunia yang menjadi semakin global, kita seharusnya memanfaatkan segala sarana dan kemudahan yang boleh dicapai demi menjadikan bidang pendidikan kita lebih berdaya saing. 7 trend yang bakal dibincangkan ini dijangka mampu merubah landskap pendidikan negara ini kearah yang lebih baik jika dimanfaatkan sebaiknya.

Sukan Elektronik (E-Sukan)
E-sukan merupakan sebuah industri baru, bukan kepada pembangun permainan video, tetapi merupakan industri dan sumber ekonomi baru kepada para pemain. Ya, anda dibayar apabila bermain permainan video.

Terbaru, sebuah sekolah di Norway telah menawarkan kursus E-sukan kepada pelajar-pelajarnya, dan hal ini membuktikan bahawa e-sukan merupakan sebuah bidang yang berdaya saing.


Aspek-aspek penilaian bagi pelajar sukan tradisional dan e-sukan tidak banyak bezanya. Penilaian terhadap aspek-aspek seperti kemahiran berkomunikasi berkumpulan, perancangan strategi dan juga taktik permainan, tidak hanya digunapakai dalam bidang sukan tradisional tetapi juga dalam e-sukan.
Kita sudah tidak perlu ragu-ragu lagi dengan e-sukan, seakan-akan ianya tidak mendatangkan sebarang faedah langsung kepada industri lain selain e-sukan itu sendiri. Hal ini kerana applikasi e-sukan dapat digunapakai dalam bidang lain seperti ketenteraan, penjelajahan kawasan baru bahkan dalam sukan tradisional. Sektor pendidikan di Malaysia perlu mencari jalan agar dapat memanfaatkan e-sukan demi meningkatkan mutu pendidikan negara.
Pengaturcaraan
Tidak dinafikan lagi, pengaturcaraan komputer merupakan kemahiran dan bidang yang sangat penting dewasa ini. Pelajar yang mempelajari pengaturcaraan komputer bukan hanya dapat menambah ilmu baru bahkan kemahiran mereka itu dapat digunakan dalam usaha meneroka peluang ekonomi baru.


Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia mengkhususkan satu bab tentang pengaturcaraan komputer dalam subjek Teknologi Maklumat dan Komunikasi Tahun 6 dijangka mampu memberi impak positif bukan sahaja kepada pelajar bahkan kepada seluruh sistem pendidikan itu sendiri.
Hal ini kerana ianya mampu menjadikan para pelajar lebih berkemampuan dalam menyelesaikan masalah yang kompleks, mampu membangun aplikasi komputer dan juga suatu hari nanti berupaya menganalisa data-data besar atau disebut sebagai big data dalam Bahasa Inggerisnya.
Robotik
Robotik merupakan sebuah bidang yang sangat istimewa kerana ia menggabungkan beberapa bidang kejuruteraan seperti elektronik, mekanikal dan reka bentuk disamping bidang sains komputer seperti pengaturcaraan.
Mendedahkan pelajar kepada dunia robotik mampu memberi kesan besar kepada industri kejuruteraan negara bukan hanya dalam bidang pembuatan dan penyelengaraan tetapi dalam bidang reka bentuk.



Kita sedia maklum bahawa bidang reka bentuk ini bukanlah suatu bidang yang norma di Malaysia ini dan dengan pendedahan awal kepada pelajar sekolah realiti ini diharap mampu diubah.
Malangnya apa yang terjadi sekarang, hanya kanak-kanak dari keluarga berpendapatan tinggi sahaja mampu mendapat capaian kepada pendidikan robotik, manakala golongan kelas pertengahan dan berpendapatan rendah tidak mampu memperolehi kemewahan ini.

Oleh itu kit robotik berkos sederhana dan rendah dijangka dapat menyelesaikan masalah ini, pada tahun ini.
Percetakan 3D
Hari ini subjek Kemahiran Hidup di sekolah rendah dan menengah mendedahkan para pelajar dengan teknologi pembuatan berasaskan kayu dan logam. Dengan teknologi percetakan 3D, pelajar dijangka mampu mereka bentuk sesuatu yang mustahil direka dengan menggunakan kayu dan logam.
Hal ini secara langsung dapat membuka halangan yang membataskan kreativiti para pelajar untuk pergi lebih jauh yang dibatasi oleh keupayaan penggunaan perkakas dan kemahiran pembinaan menggunakan kayu dan logam.

Dengan hanya mereka bentuk menggunakan perisian komputer yang boleh didapati secara percuma, apa sahaja boleh dijelmakan menjadi realiti. Tambahan pula, teknologi percetakan 3D yang telah wujud sejak sekian lama dan telah luput patennya menjadikan mesin pencetak 3D mampu dimiliki oleh sekolah pada harga serendah RM2,000 sahaja.
Realiti-Maya
Realiti maya mampu menghasilkan persekitaraan maya yang memberi pengalaman visual dan audio kepada manusia melalui komputer seolah-olah menyerupai pengalaman yang sebenar.
Oculus Rift sebagai contoh merupakan salah sebuah peranti realiti maya yang bakal dikeluarkan pada suku pertama tahun 2016, dan bidang pendidikan khususnya institusi sekolah rendah dan menengah perlu mengambil peluang keemasan ini.
 
Teknologi realiti maya ini mampu memberi para pelajar pengalaman sebenar berada di persekitaran yang tidak mampu dicapai secara fizikal oleh kerana batasan jarak, keselamatan dan kos seperti laut dalam, Stesen Angkasa Antarabangsa mahupun angkasa lepas itu sendiri.

Tidak terhad kepada itu, para pelajar juga boleh menjelajah melalui tubuh badan manusia dan meneroka sistem biologi ciptaan tuhan ini.

Tidak saja bertumpu kepada penggunaan permainan digital, realiti maya juga mampu memberi pendedahkan awal kepada pelajar berkaitan soal keselamatan pemanduan jalan raya, dengan memberi mereka peluang memandu kereta maya sekalipun mereka masih belum layak untuk memiliki lesen.
Pembelajaran Mudah-Alih
Semenjak 2 hingga 3 tahun kebelakangan ini, seluruh aspek kehidupan kita telah menjadi lebih mudah alih dengan kewujudan peranti-peranti mudah alih berkos rendah dan sederhana di pasaran. Lebih 3 juta aplikasi mudah alih boleh didapati di Google Play Store dan Apple App Store.
Anda tidak perlu lagi ke ATM untuk memindahkan wang dan tidak perlu beratur panjang untuk membayar bil utiliti. Pemesanan makanan hanya di hujung jari, menempah lori tidak lagi perlu melihat iklan di tiang elektrik dan menonton rancangan kegemaran anda kini tidak lagi perlu di hadapan telivisyen.


Kehidupan kita telah banyak berubah, tetapi bagaimana pula dengan pendidikan anak-anak kita. Adakah searus dengan perubahan yang lain?
Kini anak anda boleh belajar muzik, pengaturcaraan komputer dan juga matematik dengan menggunakan aplikasi dalam peranti mudah alih. Beribu-ribu aplikasi boleh didapati secara berbayar mahupun percuma, tinggal lagi hanya kitalah yang mahu menggunakannya.
Pendidikan dapat dilakukan di mana jua samada di kedai kopi atau di pusat membeli belah. Ianya tidak terhad di dalam kelas lagi pada hari ini.
Perkomputeran Awan
Bidang perniagaan dan perdagangan telah lama menggunakan perisian sebagai utiliti, yakni menggunakannya seperti air dan elektrik hanya apabila diperlukan, terima kasih kepada perkomputeran awan. Mereka tidak perlu lagi menaik taraf dan menyelenggara perkakasan komputer, cukup sekadar mempunyai komputer berspesifikasi asas dengan capaian internet.

Kini, perkomputeran awan telah memberi impak kepada kehidupan peribadi kita. Kita tidak lagi perlu membeli pemacu keras bersaiz besar. Gambar, video dan fail-fail penting hanya perlu disimpan di awan.

Bidang pendidikan juga perlu memanfaatkan kemudahan ini. Kesannya, anak-anak kita tidak lagi perlu membeli buku rujukan dengan harga yang mahal, sekolah tidak lagi perlu menaik taraf sistem perkomputeran mereka dengan spesifikasi yang tinggi langsung menjimatkan kos dan harga perisian komputer juga akan menjadi lebih murah bahkan percuma.

Segala fail yang disimpan di makmal komputer sekolah tidak perlu lagi disalin di dalam peranti storan data para pelajar. Dengan storan awan, fail yang disimpan di dalam komputer di makmal sekolah dapat dicapai melalui komputer di rumah, dan segala perubahan terhadap fail melaui komputer di rumah juga akan memberi perubahan yang sama terhadap fail di dalam komputer di sekolah.

Kini, anak-anak lepasan sekolah menengah kita tidak perlu lagi meneka-neka bidang pengajian apa yang mereka perlu teruskan di institusi pengajian tinggi nanti. Mereka sendiri dapat mengikuti dan mengalami suasana kursus-kursus di universiti terkemuka dalam dan luar negara semasa cuti selepas SPM mereka, secara percuma. Segala bahan-bahan pembelajaran seperti video syarahan, kuiz, nota dan sebagainya mampu dicapai dan dimuat turun secara percuma tanpa sebarang kos tambahan.


Kredit:

Amanz.my

Wednesday, 3 February 2016

Apa itu OpenLDAP ?

OpenLDAP merupakan salah satu software yang menerapkan protokol LDAP (Light Weight Directory Access Protocol) yang bersifat OpenSource dan tersedia di seluruh sistem operasi Linux.

OpenLDAP memiliki bentuk struktur yang berhirarki (sistem pohon seperti pada file sistem linux), bukannya berformat kolum dan baris, seperti halnya database normal, sehingga memudahkan untuk memasukkan sejumlah besar detail yang mirip dalam bentuk yang terancang.

Di dalam OpenLDAP terdapat 2 service utama iaitu slapd dan slurp. Slapd merupakan OpenLDAP daemon yang melayani permintaan dari klien, query dan berkomunikasi dengan backend database. Sedangkan slurp merupakan replication daemon yang berfungsi melayani replikasi data agar terus terjadi sinkronisasi (synchronised) data antara klien dan server.

Dengan penggunaan OpenLDAP dalam suatu sistem, maka akan memudahkan sistem tersebut dalam melakukan pengurusan pengguna, kerana data pengguna terpusat pada satu sistem. Atau istilah popularnya iaitu Single Sign On (SSO).