Tuesday, 3 March 2015
Keputusan SPM 2014
Hari ini cikgu bertugas sebagai pegawai dalam Kejohanan Skuasy MSS Melaka 2015. Hati terasa berdebar menantikan keputusan SPM keluar.
Usai acara separuh akhir, cikgu bergegas kembali ke SMKBR untuk meninjau sejenak anak-anak murid yang sedang mengambil keputusan masing-masing.
Sempat berjumpa dengan beberapa orang anak didik yang ternyata begitu gembira menerima keputusan masing-masing.
Tahun ini merupakan tahun yang amat bermakna dan membanggakan buat diri cikgu. Mengapa? Pertama sekali cikgu amat bersyukur kepada Allah SWT kerana mengurniakan berita yang menggembirakan apabila putera kedua cikgu mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.
Perkara kedua yang menggembirakan cikgu ialah apabila mengetahui semua anak didik cikgu lulus 100%. Rekod terbaik juga apabila 6 orang pelajar ICT mendapat keputusan cemerlang A+ (1 orang), A (2 orang) dan A- (3 orang). Selebihnya B+ (2 orang) dan B (1 orang). GPMP juga telah turun dari 3.65 (2013) kepada 2.00 (2014) iaitu penurunan sebanyak -1.65. Kalian telah memecahkan rekod tahun 2008!
Malah salah seorang berjaya menjadi pelajar terbaik iaitu Siti Fatin Natasya bt. Mohd Nasir. Tahniah untuk semua. Kamu memang hebat!
Perkara ketiga ialah apabila keputusan ICT tahun ini melayakkan kita menduduki tempat kedua dalam negeri Melaka selepas SMKA Sharifah Rodziah.
Walaupun ada beberapa orang pelajar yang cikgu tidak dapat berjumpa, namun dalam hati cikgu, batch 2013-2014 telah menghadiahkan sebuah kenangan yang terindah dalam hidup ini. Kalian semua memang berhak mendapatnya kerana usaha keras kalian, disertai doa daripada ibu bapa yang tidak putus-putus bersama sokongan yang tidak berbelah bahagi.
Cikgu hanya sebahagian watak yang menyumbang terhadap kejayaan kalian. Yang paling penting usaha dan doa kalian telah dikabulkan Allah SWT.
Cikgu doakan semoga amalan kita diberkati dan diredhai Allah SWT dan diterima sebagai salah satu amal soleh kita. Cikgu juga ingin ucapkan selamat menempuh sebuah lagi perjalanan dalam memburu cita-cita ilmu.
"Life is like connecting the dots. We can only connecting the dots by looking backward." ~ Steve Jobs
Ingatilah perkara terindah yang kita lalui buat kenangan dan panduan masa depan. Sentiasalah dahagakan ilmu pengetahuan kerana inilah jihad kita yang paling utama.
Jadikanlah diri kalian sebagai suri teladan yang boleh diikuti oleh orang lain walau di mana kalian berada. Kalian adalah masa depan negara. Kalian adalah 'brand' kebanggaan keluarga. Kalian adalah legasi SMKBR.
Janganlah kalian dilemahkan oleh bisikan atau suara-suara yang cuba melemahkan diri kalian atau mereka yang ingin mencuri impian kalian. Burulah cita-cita dengan penuh tekad dan keazaman.
Pegang eratlah cita-cita dengan penuh ketaqwaan. Kerana kalian sebahagian daripada kalangan yang berjihad fi sabilillah demi memartabatkan ummah melalui wadah ilmu.
Jadilah penuntut kebanggaan guru dengan penuh adab dan etika. Julanglah ilmu dengan niat untuk mengamalkannya dan sentiasa bersyukur dengannya. Kerana orang yang beramal dengan ilmunya adalah seumpama pohon yang subur lagi berbuah. Dan tanda orang yang bersyukur ialah semakin kuat keimanannya dan semakin dekat dirinya dengan Tuhan Yang Maha Esa!
Bertindak bijaklah berpandukan ilmu dan syariat kerana di situ ada berkat! Semoga ilmu menjadi penyuluh hidup kita semua.
Kami akan sentiasa merindui kalian. Mungkin akan cuba mengintai perkembangan kalian dari masa ke semasa. Ini sebahagian daripada rutin buat insan yang bergelar guru.
Akhir kalam, janganlah lupa segala budi dan jasa SMKBR dan selamat berjaya buat kalian semua!
Labels:
Catatan Cikgu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment