Ads 468x60px

Friday 24 October 2014

Malaysia Perlu Ramai Saintis Data Pacu Ekonomi Baharu


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) kali ke-26 Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melantik seorang ketua saintis data berikutan perkembangan pesat MSC Malaysia dan sektor digital di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, cadangan itu akan dikemukakan kepada kabinet untuk tujuan pelantikan tidak lama lagi.
"Memajukan ekonomi digital Malaysia adalah satu jalan yang perlu kita ambil dan cabaran itu perlu dihadapi dengan penuh bersemangat bagi menggerakkan negara ke arah mencapai Wawasan 2020," katanya semasa menyampaikan ucapan penutup pada mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC ke-26 di sini, hari ini.

MSC Malaysia adalah inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi nasional yang diwujudkan bagi menarik syarikat teknologi bertaraf dunia dan dalam masa yang mempersiapkan industri ICT tempatan.

Dalam usaha menangani jurang kemahiran dari segi saintis data yang ada di negara ini, Najib berkata kerajaan memutuskan untuk mengarahkan agensi pemberi biasiswa seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyediakan biasiswa.

"Dengan ini, ia membolehkan rakyat Malaysia dilatih sebagai saintis data bagi ijazah pertama, ijazah sarjana dan PhD dan ini boleh dilakukan dengan segera kerana kita mahu ia ditambah bagi mengatasi jurang kemahiran," katanya.

Najib juga mengumumkan Malaysia akan menjadi hos Kongres Dunia mengenai Teknologi Maklumat (WCIT) pada 2020 yang akan dianjurkan bersama oleh MDeC dan PIKOM.

Pemilihan penganjur itu diumumkan pada WCIT 2014 di Guadalajara, Mexico, baru-baru ini.
Ini kali kedua Malaysia diberi penghormatan untuk menjadi penganjur WCIT selepas kejayaannya menjadi penganjur siri ke-16 pada 2008 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kira-kira 10,000 saintis data profesional diperlukan untuk membangunkan sistem data negara menjelang tahun 2020.

Kerajaan juga sedang berusaha membawa pulang saintis-saintis data di luar negara untuk kembali berkhidmat di tanah air.

"Setakat ini kita mungkin ada 1,000 lebih di kalangan data profesional tetapi data saintis itu tidak ramai dan ada beberapa orang di merata dunia dan kita berusaha mendapatkan mereka kembali. Sebelum ini kedudukan dalam kerajaan tidak begitu jelas kedudukan mereka, kini mereka akan diberikan tempat lebih menarik." kata Ahmad Shabery ketika ditemui pemberita selepas majlis yang sama.

Dalam usaha merealisasikan peluang dalam big data analytics (BDA), Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) akan melaksanakan tiga projek berimpak tinggi dalam pembangunan bakat.

Antaranya termasuk penubuhan Institut Data Sains Asia, data terbuka kerajaan dan penubuhan Pusat Inovasi Kecemerlangan BDA bagi melahirkan bakat tempatan dalam bidang sains data.


Sumber:
1. www.bharian.com.my
2. www.astroawani.com


0 comments:

Post a Comment